JUARA dunia beregu campuran negara, Toh Ee Wei masih menyimpan harapan untuk mempertahankan gelaran dunia bersama Chen Tang Jie, namun mengakui peluang itu ibarat memerlukan satu keajaiban susulan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) separa yang dialaminya.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata keputusan sama ada beliau mampu beraksi pada Kejohanan Dunia di New Delhi, India dari 17 hingga 23 Ogos depan hanya akan diketahui selepas mendapat pandangan lanjut daripada doktor dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Saya tidak boleh sahkan apa-apa lagi kerana masih perlu mendengar cadangan doktor. Mungkin ada keajaiban, tetapi semuanya bergantung kepada kehendak Tuhan.
“Sudah tentu saya mahu bermain dan mempertahankan gelaran dunia. Tetapi kecederaan ini berlaku terlalu hampir dengan kejohanan dan tidak banyak yang boleh saya lakukan sekarang,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Ee Wei berkata keputusan sama ada beliau perlu menjalani pembedahan hanya akan ditentukan selepas menjalani pemeriksaan imbasan MRI susulan, namun menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah menjalani proses pemulihan sebaik mungkin.
“Selepas itu saya akan berjumpa doktor dan berbincang mengenai langkah seterusnya. Jika perlu menjalani pembedahan sekalipun, semua kerja yang saya lakukan sekarang akan membantu mempercepatkan proses pemulihan.
“Ini bukan masa untuk berehat tetapi masa untuk bekerja lebih keras,” katanya.