SWEDEN memulakan saingan Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan meyakinkan 5-1 ke atas Tunisia dalam aksi Kumpulan F yang berlangsung pagi tadi di Estadio Monterrey, Mexico.

Skuad kendalian Graham Potter terus mula agresif apabila Yasin Ayari meletakkan Sweden di hadapan seawal minit ketujuh, sekali gus memberikan suntikan semangat awal kepada skuad Scandinavia itu.

Sweden terus mendominasi penguasaan permainan dan berjaya menggandakan kelebihan menerusi penyerang utama mereka, Alexander Isak, pada minit ke-30 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tunisia yang cuba bangkit daripada tekanan berjaya merapatkan jurang sebelum tamat separuh masa pertama apabila Omar Rekik menyempurnakan peluang pada minit ke-43, memberikan harapan buat wakil Afrika Utara itu.

Di babak kedua, Sweden kembali mengatur serangan dan hasilnya Viktor Gyokeres meledak gol ketiga pasukan pada minit ke-59 untuk mengembalikan kelebihan dua jaringan bagi perlawanan ini.

Pasukan bimbingan Sabri Lamouchi itu, masih berusaha keras mencari gol kedua untuk menghidupkan peluang mereka memenangi perlawanan pembukaan mereka ini.

Namun, usaha Tunisia untuk menghidupkan semula perlawanan tidak berhasil apabila pertahanan Sweden kekal sukar ditembusi.

Mattias Svanberg kemudian hampir memastikan tiga mata penuh buat Sweden apabila meledak gol keempat pada minit ke-84 sebelum Ayari melengkapkan persembahan cemerlangnya dengan jaringan kedua peribadi pada penghujung perlawanan.

Permulaan sempurna buat pasukan Sweden ini meletakkan mereka dalam kedudukan yang selesa, sekali gus memberikan kelebihan awal menjelang pertemuan yang lebih mencabar dalam baki saingan peringkat kumpulan.

Manakala, Tunisia perlu segera memperbaiki prestasi menjelang perlawanan seterusnya bagi memastikan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati terus terbuka.

Kredit Gambar: Julio Cesar Aguilar/AFP