AKSI kegemilangan Johor Darul Ta’zim (JDT) III yang dipamerkan dalam perlawanan akhir kedua Piala Presiden 2023 telah berjaya menawan trofi kejuaraan buat dua musim berturut-turut dan kemenangan itu turut dibantu oleh jaringan pertama daripada Fergus Tierney.

Pemain JDT III yang berdarah kacukan Malaysia- Scotland, Fergus Tierney bagaimanapun mengakui bahawa tekanan berat yang diberi oleh Negeri Sembilan FC itu sudah dijangka berlaku namun skuadnya berjaya untuk bangkit dan mengatasi halangan yang diberi pada separuh masa kedua.

Jelas pemain yang berusia 20 tahun itu, Negeri Sembilan FC telah bermain dengan aksi yang begitu baik sekali gus membuatkan kedua-dua pasukan bersaing dengan lebih agresif.

“Saya akui bukan mudah untuk meraih kemenangan malam ini dengan corak permainan pihak lawan yang begitu baik dari musim ke musim apabila diperhatikan,” katanya kepada media selepas perlawanan di Pasir Gudang malam Ahad. 

Sementara itu, Fergus yang turut bermain sebagai penyerang skuad B-23 telah mengulas mengenai pengganti ketua jurulatih iaitu E. Elavarasan, bahawa dia hanya mengharapkan yang terbaik buat pasukannya apabila berada dibawah naungan pengendali baharu.

“Saya tidak ada kuasa untuk bercakap mengenai pengganti Elavarasan tetapi semoga pengganti beliau akan membawa semangat yang baru dan dapat menajamkan semula prestasi skuad B-23 ini.

“Hari-hari saya dipenuhi dengan azam baru untuk belajar dan cuba perbaiki kelemahan diri supaya dapat buat yang lebih baik jadi kemenangan yang diraih hari ini juga bakal menjadi pemangkin buat saya,” katanya.