DUNIA bola sepak rantau ini bakal menyaksikan satu sejarah baharu apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melancarkan FIFA ASEAN Cup, kejohanan yang menghimpunkan semua 11 negara anggota ASEAN dalam satu pentas serantau berprestij.
dipetik dari Bernama, Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata kejohanan ini diwujudkan bagi meniup semangat baharu dalam bola sepak Asia Tenggara serta menjadi simbol perpaduan antara negara-negara ASEAN melalui sukan paling popular di dunia.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, hari ini melancarkan secara rasmi FIFA Asean Cup melibatkan 11 negara Asean. Kejohanan ini akan berlangsung dalam kalendar FIFA dan akan memberi peluang untuk mata penuh ranking FIFA.
“Ini bukan sekadar kejohanan bola sepak, tetapi satu lambang penyatuan yang akan memberi kesan besar bukan hanya di rantau ini, malah di seluruh dunia,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara FIFA dan ASEAN berhubung pembangunan bola sepak, yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Majlis bersejarah itu turut dihadiri kesemua pemimpin negara ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Infantino menyifatkan MoU ini sebagai “amat istimewa” kerana melibatkan 11 negara anggota — satu angka simbolik dalam bola sepak, yang turut mencerminkan semangat kesepasukan.
“Kejohanan ini akan memberi nafas baharu kepada bola sepak ASEAN dengan menampilkan pemain terbaik rantau ini dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA. Ia bukan sahaja memberi impak besar di rantau ini, malah berpotensi menyerlah di pentas dunia,” ujarnya.

Menurutnya, ASEAN merupakan antara pasaran paling dinamik dalam dunia bola sepak dengan lebih 700 juta peminat aktif, menjadikannya antara kawasan paling berpotensi untuk pembangunan sukan berkenaan.
Kerjasama FIFA dan ASEAN itu turut menekankan aspek integriti, keselamatan perlawanan serta pembangunan akar umbi dan pendidikan bola sepak di seluruh rantau.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada FIFA atas komitmen mereka membantu membangunkan bola sepak di ASEAN.
“Bola sepak ialah permainan rakyat, dan ASEAN komited menjadikannya wadah membina generasi baharu yang lebih kuat dan berwawasan. Kami berterima kasih kepada FIFA atas kepakaran dan sokongan mereka dalam memperkasakan belia, khususnya di kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah,” katanya.
Pelancaran FIFA ASEAN Cup ini dilihat sebagai satu langkah besar dalam menjadikan bola sepak sebagai kuasa penyatu utama rantau Asia Tenggara — bukan hanya di padang, tetapi juga dalam semangat serantau yang semakin kukuh.