Sekumpulan 13 negara yang beraksi pada Piala Dunia 2026 tampil mempertahankan format baharu kejohanan itu selepas Presiden UEFA, Aleksander Ceferin mengkritik peluasan penyertaan kepada 48 pasukan yang menurutnya berpotensi menghasilkan banyak perlawanan kurang menarik.

Dalam satu kenyataan bersama, 13 persatuan bola sepak berkenaan menyuarakan bantahan terhadap pandangan tersebut dan menegaskan setiap perlawanan di pentas tertinggi bola sepak dunia mempunyai makna yang besar buat pemain, pasukan serta jutaan penyokong.

Menurut kenyataan itu, semua negara yang berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia telah memperoleh tempat masing-masing berdasarkan prestasi dan merit, justeru pencapaian tersebut wajar dihormati.

“Bagi negara kami, tiada perlawanan Piala Dunia yang tidak penting.

“Menggambarkan perlawanan ini sebagai kurang penting amat mengecewakan dan gagal menghargai usaha, pengorbanan serta cita-cita pemain, jurulatih, kelab, pemimpin bola sepak dan penyokong di seluruh dunia,” menurut kenyataan berkenaan.

Sebelum ini, Ceferin dilaporkan mempersoalkan keputusan menambah jumlah pasukan bertanding daripada 32 kepada 48, dengan menyatakan ia boleh menjejaskan kualiti keseluruhan kejohanan.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui format baharu itu memberi peluang kepada lebih banyak negara untuk merasai pengalaman beraksi di Piala Dunia.

Antara negara yang menandatangani kenyataan bersama tersebut ialah Maghribi, Mesir, Ghana, Senegal, Ivory Coast, Afrika Selatan, Algeria, Tunisia, Haiti, Republik Demokratik Congo, Cape Verde, Curacao dan Uzbekistan.

Mereka turut menegaskan bahawa setiap pasukan berhak untuk bermimpi dan setiap perlawanan mempunyai kepentingan tersendiri kepada penyokong di seluruh dunia.

Kontroversi itu muncul ketika Piala Dunia 2026 memasuki edisi sulung dengan penyertaan 48 pasukan, format baharu yang diperkenalkan FIFA bagi membuka lebih banyak peluang kepada negara-negara dari pelbagai benua untuk bersaing di pentas global.

Kredit Gambar: Facebook/Federashon Futbol Korsou