BERAKHIRNYA lima hari demam futsal di Kuantan, Malaysia mengesahkan tempat di Piala Asia menamatkan penantian panjang selama lapan tahun bermain di pentas berprestij itu.
Ia kempen yang cukup istimewa buat Malaysia, bukan sahaja kerana berjaya menyambar tiket berada dalam kelompok 16 terbaik Asia, tetapi juga atas positiviti yang terserlah dalam segenap aspek.
Daripada keberanian dan intensiti tinggi di atas gelanggang, hingga ke ‘vibes’ luar gelanggang yang terserlah dengan kehadiran lautan penyokong membanjiri SUKPA – Malaysia ada banyak sebab untuk berbangga.

Malaysia bukan sahaja meraih kelebihan sebagai tuan rumah Kumpulan G, malah menjadi tuan rumah yang cukup dikagumi.
Penghargaan besar buat YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah serta team pengurusan Pahang Rangers beliau, dan Kerajaan Negeri Pahang, atas komitmen dan sokongan penuh membawa pertandingan bertaraf antarabangsa berlangsung di bumi Kuantan.
Tidak hairanlah apabila pengendali Iran, Vahid Shamsaei, turut menzahirkan pujian terhadap suasana di Kuantan.

Pengendali Iran, Vahid Shamsaei, turut menzahirkan pujian terhadap suasana di Kuantan.
“Terima kasih SUKPA menyambut kami di sini, ia satu pengalaman yang mengujakan. Ia mengagumkan untuk melihat bagaimana penyokong Malaysia berdiri bersama, bersorak, keghairahan mereka, ia luar biasa, satu fenomena. Mereka adalah kekuatan pasukan Malaysia, anda boleh lihat.
“Layanan kami terima di Kuantan sejak tiba semuanya cukup bagus. Terima kasih atas penganjuran yang tiada kekurangan, hospitality, dan saya pasti mahu kembali ke Malaysia, terutama Kuantan di masa akan datang, for the love of futsal,” ujar Vahid.
Kata-kata jurulatih yang membimbing negara di ranking kelima dunia ini, bukan sahaja membuktikan kemampuan Kuantan menjadi tuan rumah kepada aksi futsal pada standard tertinggi, tetapi lebih penting mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa sepertimana hasrat dizahirkan YAM Tengku Fahad sebelum ini.
Manakala buat pasukan Harimau Malaya, semoga semangat juang, keberanian dan keghairahan yang telah kita saksikan di SUKPA kekal membara dan dapat diterjemahkan di bumi Indonesia pada Januari nanti.