PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak masih merasakan kejayaan pasukannya layak ke final Piala AFC 2022 umpama sebuah mimpi dan mahukan mimpi ini berterusan dan mempunyai pengakhiran yang indah.
Dia berkata begitu dalam sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan KL City berjaya menewaskan Sogdiana Jizzakh 5-3 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 0-0 sehingga 120 minit permainan.
Bojan juga tahu cabaran yang bakal dihadapi KL City pada final nanti dan dia sudah bersedia untuk menghalang lawan dengan taktikal yang bakal ditentukan dan akan mengkaji titik kelemahan pasukan lawan.

Bojan Hodak
“Kami adalah kelab yang kecil dengan bajet yang kecil. Ini adalah kejayaan yang luar biasa buat KL City dan juga bola sepak Malaysia. Ianya umpama mimpi dan kami mahu teruskan hingga ke penghujung dan berharap mimpi ini akan berterusan dan berakhir dengan indah.
“Saya sudah katakan sebelum perlawanan bahawa Uzbekistan mempunyai ranking yang lebih tinggi dari Malaysia. Kami menjangkakan corak permainan Sogdiana dan berjaya menghalang mereka dan sesekali menyerang melalui serangan balas dan akhirnya kami menang menerusi penentuan penalti,” jelas Bojan.
Kejayaan ini turut dikongsi oleh ketua pasukan Paulo Josue yang gembira dengan cara pasukan bertahan dan latihan penalti banyak membantu mereka selain kepercayaan yang diletakkan kepada Kevin Mendoza yang terkenal dengan ketangkasan menyelamatkan penalti.

Paulo Josue
“Kami bermain sangat baik secara bertahan. Ini adalah salah satu permainan yang kami bertahan dengan sangat baik. Kami berjaya mengeluarkan segala bola yang datang dan kredit harus diberikan kepada barisan pertahanan kami.
“Sudah tentu kami berhadapan sedikit masalah kerana beraksi di laman lawan namun kami berjaya mengekang mereka dan akhirnya kami menang pada penentuan penalti. Sesi latihan penalti banyak membantu kami dan semua tahu betapa bagusnya Kevin dengan penalti.
“Kami bertahan sebagai satu unit dan saya gembira apabila kesemua pemain yang mengambil penalti dapat menjaringkan gol dan sekarang kami ke final dan akan bermain di hadapan penyokong sendiri. Inilah peluang terbaik buat kami memenangi piala ini,” katanya.
Sementara itu Bojan jelas mempunyai idea untuk menghadapi Al-Seeb dari Oman pada final yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada 22 Oktober 2022.
“Ini akan menjadi satu lagi cabaran besar buat kami dan apa yang perlu saya lakukan sebagai jurulatih adalah untuk menghentikan serangan pasukan lawan. Kami sudah lakukannya di Vietnam, India dan kini di Uzbekistan apabila kami berjaya mengehadkan peluang pasukan lawan.
“Untuk final nanti kami akan mengenalpasti kelemahan lawan dan akan cuba mencari ruang untuk melancarkan serangan terutama menerusi serangan balas,” tambah Bojan.
Kuala Lumpur City FC mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menjadi pasukan kedua negara selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya layak ke final Piala AFC dan kini hanya selangkah untuk mengulangi pencapaian JDT muncul juara edisi 2015.