PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan badan induk bola sepak negara itu mempunyai hutang dengan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hamidin menjelaskan kemungkinan isu yang dibangkitkan itu adalah berkaitan hutang yang melibatkan Malaysia Football League (MFL) yang masih belum dibayar kepada juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Beliau menjelaskan bahawa hutang berkenaan adalah berkaitan wang kemenangan Harimau Selatan yang mungkin masih mempunyai baki tunggakan untuk dijelaskan kepada mereka.

“Pada pandangan saya mungkin MFL ada sedikit hadiah kemenangan yang belum dilunaskan. Tetapi saya berasa mungkin hampir dilunaskan, namun dengan FAM tidak ada.

“Mungkin kelewatan membayar wang kemenangan tetapi ia mungkin sudah dijelaskan dan mungkin boleh semak dengan Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya pada Sabtu.

Hamidin berkata demikian selepas baru-baru ini, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu temubual memberitahu bahawa pihak FAM boleh menolak hutang yang ada sekiranya pasukan JDT dikenakan hukuman denda berikutan insiden membakar suar dalam stadium baru-baru ini.

Sebelum ini, penyokong JDT dilaporkan membakar suar selepas perlawanan sebanyak tiga kali dan ia melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.