ALEJANDRO Garnacho menghantar mesej kepada Manchester United ketika Chelsea dalam usaha mendapatkan pemain buangan yang memiliki nilai RM284 juta itu.

Pemain Argentina yang dimasukkan ke dalam ‘skuad buangan’ lima pemain oleh Ruben Amorim pada awal musim panas bersama Jadon Sancho, Antony, Marcus Rashford dan Tyrell Malacia sedang berusaha keluar dari Old Trafford menjelang musim baharu ini.

Garnacho sudah diminta oleh Amorim untuk mencari kelab baharu selepas dia dilaporkan tidak berpuas hati memulakan perlawanan di bangku simpanan pada final Liga Europa.

Garnacho sudah diminta oleh Amorim untuk mencari kelab baharu. (Sumber Gambar: Reuters)

Daily Mail Sport melaporkan bahawa Garnacho kini sudah menetapkan tekadnya untuk berpindah ke Chelsea yang menunjukkan minat serius terhadap pemain berusia 21 tahun itu.

United yang pada mulanya meletakkan tanda harga RM398 juta ke atas Garnacho kini menurunkannya kepada RM284 juta juta bagi memudahkan urusan perpindahan.

Menurut Fabrizio Romano, Garnacho memaklumkan United supaya mengatur perpindahannya ke Chelsea atau dia akan rela duduk di bangku simpanan untuk enam hingga dua belas bulan akan datang.

Wartawan itu kemudian memuat naik di media sosial X bahawa Chelsea sudah meningkatkan rundingan dengan United mengenai perpindahan Garnacho selepas bersetuju dengan syarat peribadi bersama pemain itu.

Difahamkan, pihak pengurusan Chelsea tidak bimbang mengenai sikap atau karakter Garnacho selepas menjalankan siasatan dalaman dan rundingan berhubung yuran perpindahan kini sedang berlangsung.

Secara keseluruhan, Garnacho mencatat 144 penampilan bersama United, menjaringkan 26 gol dan mencipta 22 bantuan jaringan.

Beliau memenangi Piala FA bersama United pada musim 2023/24 serta Piala Liga pada musim sebelumnya. -AGENSI