KETUA jurulatih skuad Malayan Tigress B-20, Cameron Ng, mengakui skuadnya jauh ketinggalan dari segi kualiti selepas dibelasah 16-0 oleh gergasi Asia, Jepun, dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Mengulas kekalahan terbesar itu, Cameron menyifatkan perlawanan tersebut ibarat “girls versus women” dengan Jepun terlalu kuat untuk ditandingi. Beliau berkata, skuad negara sebenarnya telah mempunyai perancangan taktikal termasuk bermain lebih bertahan dengan lima pemain di bahagian belakang, namun segalanya tidak menjadi seperti yang dirancang.
“Kami cuba untuk meminimumkan jumlah bolos dan kekal kompetitif, tetapi gol pertama terlalu awal membuatkan pemain mula panik dan hilang keyakinan. Jepun bermain di tahap berbeza, dan kami tidak berada pada tahap itu,” jelasnya.
Cameron turut menganggap kekalahan ini sebagai pengajaran yang amat pahit tetapi penting untuk perkembangan pasukan muda negara. Beliau menegaskan keperluan untuk memulakan pembangunan pemain pada usia lebih muda agar dapat bersaing dengan pasukan elit seperti Jepun.
“Kalau mahu benar-benar mencabar, kita perlu lebih bersedia dari awal. Kita tidak boleh tunggu pemain masuk usia 20 tahun baru mahu latih untuk peringkat tinggi. Ini proses panjang dan ia jelas menunjukkan tahap kita sekarang masih belum cukup baik,” tambahnya.
Bagi Cameron sendiri, kekalahan ini juga menjadi proses pembelajaran sebagai jurulatih muda apabila terpaksa mengubah formasi di pertengahan permainan kerana taktikal awal tidak berhasil.

FOTO|FAM
Mengalihkan fokus ke aksi terakhir menentang Guam, beliau menegaskan pasukan akan berusaha meraih keputusan positif dan tidak akan menjadikan kekalahan kepada Jepun sebagai beban mental.
“Menang atau kalah, kami akan terus mara ke perlawanan seterusnya dengan mentaliti mahu menang. Boleh atau tidak, itu cerita lain. Tetapi kami tidak pernah turun padang dengan niat untuk kalah,” katanya.
Malaysia kini berdepan misi menutup kempen dengan maruah apabila menentang Guam dalam aksi terakhir kumpulan pada Ahad malam.