BERPADA-PADA dalam mengkritik prestasi atlet dan jika tidak suka anda berhak untuk tidak menyokong atlet itu.

Demikian reaksi Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, ketika diminta mengulas komen netizen terhadap prestasi pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei sehingga ibu bapa pemain itu turut dikaitkan.

“Saya rasa komen sehingga menyerang keluarga itu tak patut, saya juga pernah jadi atlet… jika rasa tak suka atlet tu boleh jangan sokong, it’s OK, just diam,” kata Chong Wei, ketika dihubungi Flash Sukan.

Toh Ee Wei tidak kisah jika dirinya menjadi bahan kritikan, namun kesal apabila ibu bapanye diseret sama.

Jumaat lalu, Ee Wei ada berkongsi kepada media, menyatakan kekesalannya terhadap sikap segelintir peminat badminton yang membuat komen terhadap prestasinya dengan kenyataan “kenapa ada anak seperti ini”, sehingga ibu bapanya terguris dan sedih.

Chong Wei mengakui, zaman media sosial ketika ini sukar untuk dikawal, malah BAM sendiri tidak boleh menghalang pemainnya daripada meluangkan masa di aplikasi sosial: “Kerana jika atlet tidak baca komen, orang lain termasuk ahli keluarga masih boleh baca dan menangkap layar (screen shot) hantar kepada atlet.”

Kata beliau, implikasinya jelas, meletakkan atlet dalam situasi lebih terhimpit, apatah lagi pemain badminton perlu bangun awal untuk menjalani latihan setiap pagi, fokus kepada latihan, perjalanan ke luar negara menyertai kejohanan dan sebagainya.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan kempen 2026 dengan pencapaian ke suku akhir Terbuka Malaysia serta pusingan pertama Terbuka India.

“Banyak benda yang kita sebagai atlet tidak mampu berbuat apa-apa, berkerja keras dalam latihan tapi ke kejohanan tetap kalah,” ujar Chong Wei yang juga pemain perseorangan lelaki paling lama menduduki ranking nombor 1 dunia, pada zaman kegemilangannya.

Beliau menyokong sekiranya Ee Wei membuat laporan polis dan juga kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Dia (Ee Wei) perlu buat laporan polis dan MCMC tapi tidak mudah untuk melakukan siasatan kerana nama akaun yang digunakan untuk membuli di siber, biasanya akaun palsu.

“Malah zaman sekarang, terlalu ramai yang mengambil kesempatan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), malah saya sendiri antara mangsa apabila ada pihak yang menggunakan gambar dan suara (AI) saya untuk tujuan promosi produk yang tiada kaitan dengan saya… tapi siasatan yang dilakukan tidak pernah ada penghujungnya.”

Justeru, Chong Wei berharap agar fokus Ee Wei tidak terjejas dalam memastikan prestasi pemain itu bersama Chen Tang Jie terus menyinar di pentas antarabangsa.