KEROSAKAN lampu limpah yang berlaku di pertengahan permainan jelas mendapat bantahan pemain kelab Vietnam, Ho Chi Minh City, Nguyen Anh Gia Huy setelah berlaku kemalapan cahaya di Stadium Malawati Shah Alam yang dilihat menyumbang kepada kegagalan pasukannya

Jelasnya, dia amat kecewa kerana barisan pengadilan mengambil sambil lewa perkara tersebut dan meneruskan permainan dalam keadaan satu lampu terpadam menyebabkan cahaya sedikit berbeza ketika lampu tersebut menyala sepenuhnya.

Masalah tersebut jelas mengganggu konsentrasinya bersama pasangan sekaligus gagal mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan aksi beregu campuran pada Ahad.

Dia turut berharap dalam perlawanan selepas ini perkara tersebut tidak berulang dan segalanya diperiksa lebih teliti sebelum perlawanan dimulakan.

“Saya kecewa dengan keadaan lampu. Tiba-tiba terpadam. Saya telah bercakap dengan pengadil tetapi dia hanya suruh saya meneruskan permainan.

“Memang salah satu faktor kami gagal beri tumpuan adalah disebabkan perkara tersebut. Saya tidak jangka ianya tidak dipandang serius.

“Saya gagal memberi fokus selepas perkara tersebut berlaku dan kita tewas dalam aksi tersebut yang pada mulanya kita mendominasi pada awal permainan.

“Pihak lawan berjaya mendominasi perlawanan selepas itu dan kita tewas. Saya hairan mengapa perkara ini dibiarkan.

“Harap pihak berkenaan dapat mengatasi situasi seperti ini dan mengelakkan keadaan sebegini berulang lagi,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Terdahulu aksi tersebut memihak kepada gandingan Kelab Bangkok Sena yang diwakili seorang wakil kebangsaan Yap Kar Siong yang digandingakn bersama pemain muda Thailand, Atitaya Povanon.