MESKIPUN laporan tular di media sosial menyebut Malaysia bakal menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung penyertaan Harimau Malaya dalam kejohanan anjuran Persekutuan Bolasepak Asia Tengah itu.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan hanya akan diumumkan selepas kajian menyeluruh dibuat. “Jika ia memberi manfaat kepada skuad kebangsaan, maka bagi saya, penyertaan itu sesuatu yang baik demi pembangunan bola sepak negara,” katanya ketika ditemui pada program LALIGA EXTRATIME x di ibu negara yang dianjurkan oleh ShekhinahPR , semalam.

Sebelum ini, ciapan oleh wartawan antarabangsa Thomas Bullock di platform X mencetuskan spekulasi bahawa Malaysia bersama Oman akan menyertai kejohanan CAFA, menyertai negara seperti Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Afghanistan dan Iran.

Dalam perkembangan berasingan, Zainal turut memaklumkan bahawa FAM masih belum menetapkan keputusan menganjurkan Pestabola Merdeka 2025 susulan kesesakan jadual skuad kebangsaan dan juga kelab-kelab dalam saingan Liga Malaysia (M-Liga). “Tiada keputusan lagi buat masa ini, tetapi pihak jawatankuasa akan menilai semua aspek sebaik mungkin sebelum memutuskan penganjuran,” jelasnya.

Untuk rekod, Pestabola Merdeka yang mula diperkenalkan pada 1957 pernah digelar sebagai “Grand Old Lady of Asia” kerana kejayaannya menarik penyertaan pasukan ternama antarabangsa suatu ketika dahulu. Malaysia selaku juara bertahan selepas menewaskan Lubnan pada edisi ke-43 tahun lalu di bawah kendalian jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vincente, pastinya tidak mahu trofi berprestij itu sekadar tersimpan dalam sejarah.

Dengan tumpuan kini beralih kepada CAFA dan kelayakan Piala Asia, segala keputusan FAM bakal memberi kesan langsung kepada hala tuju Harimau Malaya menjelang tahun-tahun penting akan datang.