MANTAN Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad, meluahkan rasa kecewa terhadap badan induk bolasepak negara itu susulan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mendedahkan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara.

Menurutnya, keputusan yang diumumkan pada Selasa bukan dibuat sewenang-wenangnya kerana FIFA sebagai badan dunia tidak akan bertindak hanya berdasarkan desas-desus, sebaliknya selepas menjalankan siasatan menyeluruh dan mengumpul bukti kukuh berhubung kes berkenaan.

“FIFA adalah badan dunia yang berintegriti dan mereka tidak akan bertindak tanpa siasatan lengkap. Jadi apabila mereka mengesahkan ada pemalsuan dokumen, sudah pasti kes ini benar-benar berlaku,” katanya kepada Flash Sukan.

Azzuddin turut menyifatkan keputusan itu amat memalukan negara kerana ia mencalarkan reputasi bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa. Katanya, isu ini memberi gambaran negatif terhadap pengurusan bola sepak tempatan yang sepatutnya lebih berhati-hati dan telus.

“Sekarang permainan sudah tamat dan kesalahan ini cukup nyata. Ia memalukan nama negara. Nasihat saya kepada FAM, terima saja keputusan ini, akui kesilapan dan kita perlu melangkah ke hadapan,” tegasnya.

Beliau turut menasihati FAM agar berhati-hati sekiranya mahu mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana langkah itu mungkin mengundang risiko hukuman tambahan daripada FIFA. Azzuddin berkata FIFA sentiasa mengamalkan ketegasan dan kejelasan dalam setiap keputusan yang dibuat.

Siasatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati tujuh pemain terbabit — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, serta Hector Alejandro Hevel Serrano — bersama FAM didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam prosiding rasmi.

Hasil siasatan turut mendedahkan tempat lahir sebenar datuk atau nenek pemain berkenaan di Sepanyol, Brazil, Argentina dan Belanda, berbeza dengan maklumat dalam dokumen rasmi yang dihantar ke FIFA. Susulan kesalahan itu, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala tujuh pemain terbabit pula dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000) serta penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.