JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menjadi penyumbang terbesar dalam mata ranking MA Malaysia secara konsisten sejak 2015 bagi memastikan slot pasukan Liga Malaysia di peringkat tertinggi kejohanan kelab Asia menurut senarai yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sejak 2015, Harimau Selatan telah menyumbang 21.54 dari 31.33 mata MA Malaysia atau 68.7 peratus mata keseluruhan dengan aksi cemerlang di kejohanan Asia termasuk muncul juara Piala AFC 2015 dan layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC musim 2022.

Hanya lapan pasukan dari Liga Super Malaysia yang menyumbang kepada angka ini dengan Kuala Lumpur City di menyumbang 2.78 mata hasil kejayaan muncul naib juara Piala AFC 2022 dan Sabah FC meraih 1.77 mata selepas layak ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC musim 2023-24.

Satu lagi wakil Malaysia di Piala AFC 2023-24, Terengganu FC menyumbang 1.44 mata manakala Kedah 1.13 mata, Pahang 1.00 mata sementara Selangor dan Felda United masing-masing menyumbang 0.53 dan 0.42 mata.

Kejayaan JDT mencatatkan tiga kemenangan dalam kempen ACL 2023-24 memastikan Malaysia mempunyai dua slot di peringkat Asia dengan satu slot di Liga Juara-Juara AFC Elite dan satu lagi slot di Liga Juara-Juara AFC 2 untuk musim 2024-25 dan 2025-26.

Kepentingan bermain di peringkat tertinggi Asia sering menjadi keutamaan buat JDT sejak ditubuhkan pada 2013 dan perkara ini sudah tentu akan dikekalkan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite yang hanya melibatkan 24 kelab terbaik dari seluruh Asia.

Hanya enam negara Asia Timur memiliki slot ke ACL Elite dengan Malaysia mengekori Jepun, Republik Korea, China, Thailand dan Australia untuk merebut kejuaraan bersama enam lagi negara Asia Barat – Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Iran, Uzbekistan dan Iraq.

Musim baharu 2024-25 Liga Juara-Juara AFC Elite dan Liga Juara-Juara AFC 2 akan bermula dari September 2024 hingga Mei 2025 dengan ACL Elite diwakili JDT manakala Selangor FC bakal membawa cabaran Malaysia dalam ACL2.