PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) bercadang memastikan dua bintang baharu, Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari kembali menyarung jersi negara di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan barisan jurulatih bagi memastikan dua tonggak berbisa itu berada dalam senarai akhir skuad kebangsaan.

“Saya tengah berusaha untuk dua pemain ini, John (Hafizul) dan Pak Long (Zuleffendi) kerana saya tahu prestasi mereka dan jarang saya terlepas menonton aksi mereka di STL walaupun hanya melalui TV atau telefon,” tegas Sumali.

Beliau mengakui kedua-dua pemain itu sebenarnya sudah berada dalam perancangan skuad negara sebelum ini, namun terpaksa diketepikan kerana tidak mendapat pelepasan majikan masing-masing.

“John ada masalah dengan majikan dia dan Pak Long pun sama, sebab itu saya akan berjumpa dengan majikan mereka dalam masa terdekat untuk merayu pelepasan,” katanya, ditemui pada Mesyuaray Pemilihan Temasya Sukan SEA ke-33.

Kedua-dua pemain itu bergandingan bersama tekong berbisa, Haziq Hairul Nizam kini berada di kemuncak prestasi selepas membantu Negeri Sembilan Antlers menjulang gelaran Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam saingan STL.

Mengulas sasaran di Sukan SEA, Sumali meletakkan harapan realistik memburu dua emas menerusi regu lelaki dan kuadran lelaki selain dua perak melalui kuadran campuran serta regu berpasukan lelaki.