SKUAD bola jaring Johor Jewels berjaya mempertahankan mahkota kejuaraan Netball Super League apabila menewaskan KL Wildcats 47-43 dalam aksi final yang cukup mendebarkan di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pasukan kendalian Tracie Robinson itu bukan sahaja muncul juara tetapi mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua sembilan perlawanan yang menunjukkan dominasi Johor Jewels.

Ulangan aksi final tahun lalu itu menyaksikan pertarungan sengit antara dua ‘Goal Scorer’ kedua-dua pasukan, An Najwa dan Nassanga Shadiah yang mengujakan penyokong yang membanjiri stadium termasuk Penaung DiRaja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor, Che Puan Khaleeda Bustamam.

Wildcats bermula garang pada suku pertama dengan mendahului 13-10 namun ianya tidak melemahkan semangat Jewels yang bangkit pada suku kedua dengan taktikal yang lebih jitu untuk kembali dihadapan dengan keputusan 26-21.

An Najwa mengganas pada suku ketiga sambil dibantu kepantasan Fariha Razak dan Adri Kannemeyer yang memerangkap KL Wildcats untuk Johor Jewels selesa mendahului lapan mata dengan kedudukan 38-30.

Meskipun cuba memberi tentangan lebih sengit pada suku keempat namun KL Wildcats terpaksa akur dengan kelebihan yang ada pada Johor Jewels untuk mencatat menamatkan perlawanan dengan keputusan 47-43 sekaligus mempertahankan kejuaraan liga bola jaring tempatan.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, Perak Phoenix berjaya menewaskan Putrajaya Dynamites 69-67 untuk meraih tempat ketiga sekaligus pencapaian terbaik sejak NSL dilangsungkan pada 2021.