NAMA Ryan Teague, pemain tengah berbakat yang kini menyarung jersi Melbourne Victory, menjadi perhatian apabila laporan terkini mendedahkan bahawa beliau memiliki pertalian darah dengan Malaysia.

Bekas kapten skuad Australia B-17 ini juga layak untuk mewakili China, menjadikan beliau rebutan tiga negara Australia, China, dan Malaysia.

Namun, masa depan karier antarabangsanya masih kekal sebagai tanda tanya. Ketika ditanya mengenai kemungkinan menyertai pasukan kebangsaan lain, Ryan, 23 tahun, memberi fokus penuh kepada kerjayanya bersama Melbourne Victory.

“Saya hanya cuba bermain bola sepak saya pada masa ini. Apa sahaja yang berlaku di luar, saya serahkan kepada orang yang membantu saya,” ujarnya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini giat melengkapkan dokumentasi untuk membawa masuk lapan pemain warisan ke skuad kebangsaan, dengan empat daripadanya sudah dalam proses mendapatkan kelulusan muktamad daripada kerajaan Malaysia.

Walaupun tiada pengesahan sama ada Ryan berada dalam senarai pemain tersebut, potensi beliau menyarung jersi Harimau Malaya pastinya mencetuskan keterujaan peminat bola sepak tempatan.

Lahir di Sydney, Ryan belum membuat sebarang penampilan bersama skuad senior Australia, memberikan ruang kepada negara lain, termasuk Malaysia, untuk membawanya menyertai projek besar bola sepak kebangsaan.

Jika FAM berjaya mendapatkan khidmat pemain ini, ia bakal menjadi suntikan kualiti yang signifikan kepada skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Buat masa ini, segala persoalan mengenai masa depan Ryan Teague kekal tergantung, namun keupayaannya untuk menjadi aset kepada mana-mana pasukan kebangsaan jelas menjadikan beliau prospek yang sangat berharga.

Adakah Malaysia akan berjaya memenangi perebutan ini? Hanya masa yang akan menentukan.