DUA beradik, Harleein dan Hisshan Nair yang lebih dikenali sebagai ‘Tan’s siblings’, berjaya mengukir nama dalam Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa REDtone KL yang berlangsung dari 5 hingga 10 Disember 2023.
Pada masa yang sama, mereka turut membanggakan ibu bapa mereka dengan meraih kemenangan masing-masing dalam kategori perempuan bawah 15 dan lelaki bawah 11 tahun.
Harleein mengatakan bahawa kejuaraan yang dirangkulnya merupakan hasil titik keringat dalam memperjuangkan kemenangan untuk kali keempat.
“Ini merupakan kejuaraan REDtone keempat saya sekali gus mencatatkan prestasi terbaik setakat ini.
“Saya berjaya menamatkan semua perlawanan dengan keputusan 3-0 dan saya ingin berterima kasih kepada jurulatih saya, Zulfiqar Khan dan Haffi, atas usaha keras mereka, sekolah saya KTJ, dan CIMB atas sokongan mereka yang padu,” ujarnya.
Adiknya, Hisshan pula akui bahawa dirinya terpaksa menempuh jalan berliku pada peringkat separuh akhir namun hasil kerja keras dalam setiap latihan telah memberikan ganjaran buatnya.
“Saya gembira kerana dapat manghabiskan kejohanna ini dengan keputusan yang baik walaupun separuh akhir agak mencabar bagi saya.
“Saya telah berlatih dengan sangat rajin untuk mengakhiri tahun ini dengan hasil yang baik semuanya berjalan dengan sempurna.
“Saya akan fokus untuk aksi seterusnya iaitu Kejohanan Remaja Singapura dan saya berharap dapat memenangi gelaran juara juga,” katanya.