Select Page

Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa REDtone KL kini kembali, terima 821 penyertaan

Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa REDtone KL kini kembali, terima 821 penyertaan

KEJOHANAN Skuasy Remaja Antarabangsa REDtone KL akan kembali beraksi semula selepas berehat selama dua tahun gara-gara pandemik Covid-19.

Kini, setelah keadaan kembali normal, penganjur dan penaja utama REDtone gembira melihat kejohanan itu meningkatkan momentum dan mendapat respon positif berdasarkan jumlah penyertaan yang diterima.

Edisi ke-14 kali ini telah menerima 821 penyertaan. Bagaimanapun, bilangan negara berkurangan daripada 20 sebelum ini kepada 14 dengan Wales membuat debut mereka.

Singapura, India, Hong Kong, Jepun, Korea, Indonesia, China, Pakistan, Mesir, Papua New Guinea, Sri Lanka, Arab Saudi dan tuan rumah Malaysia mengesahkan penyertaan.

Sebahagian besar peserta datang dari Malaysia yang akan diwakili 664 pemain dari semua negeri termasuk pasukan elit dari Sekolah Sukan SRAM Bukit Jalil. Selangor adalah tertinggi dengan 176 pemain diikuti oleh Negeri Sembilan (64) tuan rumah, Kuala Lumpur (55) dan Pulau Pinang (53).

Kejohanan itu akan diadakan di dua venue berbeza iaitu di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil dan Gelanggang Skuasy Jalan Duta di Kuala Lumpur bermula dari 6 hingga 11 Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone Lau Bik Soon berkata, beliau gembira kerana edisi ini menandakan kali ke-9 REDtone menjadi penaja utama untuk acara berprestij itu.

Lau Bik Soon (kiri) menyerahkan replika cek Steven Kwan.

“Ia amat bermakna apabila kami bangkit daripada tempoh mencabar di mana pandemik Covid-19 telah memaksa kebanyakan acara sukan digantung sejak awal 2020.

“Kami juga gembira mengetahui bahawa kejohanan itu kekal sebagai salah satu acara remaja terbesar di Asia, satu kejayaan yang dipegangnya sejak 2013,” kata Lau, sambil menambah bahawa dia gembira bekerjasama dengan Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL).

Presiden SRAFTKL dan pengerusi jawatankuasa penganjur Steven Kwan berkata beliau amat gembira melihat kejohanan itu tidak kehilangan prestijnya.

“Untuk tahun ke-4, ia telah menjadi acara Platinum selepas menjadi yang terbesar di Asia (acara Emas) sejak 2013. Kami berharap untuk melihatnya terus berkembang,” tambah Kwan.

Terdapat enam kategori dipertandingkan melibatkan lelaki dan wanita Bawah 9 (B-9) B-11, B-13, B-15, B-17 dan B-19.

Video Terkini

Loading...