SEPERTI diketahui barisan skuad Harimau Malaya yang beraksi di pentas Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 tanpa kehadiran tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) kelihatan bermula agak goyah pada perlawanan pembukaan Rabu lepas.

Timbul persoalan kalangan peminat sejati, sejauh mana langkah pasukan bola sepak kebangsaan boleh pergi jauh semampu mungkin yang langsung tidak diperkuat kelab dari selatan tanah air yang baru-baru ini meraih gelaran quadruple di Liga Malaysia.

Sekurang-kurangnya 19 pemain JDT telah dipanggil oleh Kim Pan Gon pada tahun lepas. Tujuh daripada mereka dimasukkan dalam persiapan menjelang Piala AFF 2022. Bagaimanapun, kesemua mereka akhirnya menarik diri.

Tujuh nama tersebut ialah Shahrul Saad, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Arif Aiman ​​​​dan Nazmi Faiz.

FLASH SUKAN ada melaporkan mereka menarik diri atas sebab peribadi dan kecederaan.

Malah, pada masa itu terdapat pemain JDT masih memperkuatkan Harimau Malaya pada Mac, Jun dan September.

Dalam tempoh itu, terdapat kejohanan Siri Tiga Negara FAS 2022, di Singapura, Kelayakan Piala Asia 2023, dan Piala Raja di Thailand.

Beberapa analisis dibuat di sebalik ketiadaan pemain JDT. Pertama, Piala AFF bukanlah kejohanan yang ada dalam kalendar FIFA, jadi kelab itu berhak untuk menahan pemainnya daripada menyertai pasukan kebangsaan.

Pemain JDT tampil begitu cemerlang aksi Liga Malaysia musim ini.

Daripada tiga kejohanan yang dinyatakan sebelum ini, sebenarnya dua daripadanya adalah kejohanan persahabatan. Namun, kerana semuanya ada dalam kalendar rehat antarabangsa FIFA, JDT wajib melepaskan pemainnya ke pasukan kebangsaan.

Sebab kedua ialah jadual JDT yang padat. Pada musim 2022, mereka akan menyertai empat pertandingan iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Juara-Juara Asia. Ketiadaan pemain JDT dalam Piala AFF 2022 dipercayai supaya mereka dapat berehat.

Lebih-lebih lagi, Piala AFF hanya akan tamat pada pertengahan Januari 2023, manakala Liga Malaysia akan bermula semula pada Februari.

Jika Malaysia masuk ke final, maka tidak banyak masa rehat untuk pemain sehingga liga diadakan semula. Jadi, mungkin inilah faktor yang JDT cuba elakkan.

ARTIKEL BERKAITAN : Akram, Lambert tidak sertai kem latihan Harimau Malaya

Selain pemain JDT, terdapat lima lagi pemain yang menarik diri daripada skuad Malaysia dalam Piala AFF termasuk dari Kuala Lumpur City dan Sri Pahang FC. Ini membuatkan jurulatih Kim Pan Gon pening kepala.

Walaupun begitu, Pan Gon cuba melihat dari perspektif yang berbeza. Piala AFF 2022 boleh menjadi gelanggang pemain dari kelab lain untuk mempamerkan bakat dan kemahiran terpendam. Malaysia juga sebenarnya boleh mendapat banyak manfaat kerana mempunyai stok pemain yang besar yang telah diuji di peringkat antarabangsa.

Sebenarnya ada pemain JDT yang hadir pada Piala AFF 2022 iaitu Jordi Amat yang kini bersama skuad kebangsaan Indonesia. Namun begitu, dia tidak menjadi tonggak utama JDT kerana hanya menyertai pertengahan saingan dan hanya beraksi empat kali musim lalu.

JDT diyakini membenarkan Jordi beraksi pada Piala AFF 2022 supaya dia mendapat lebih banyak minit untuk bermain, agar kecergasan perlawanannya dikekalkan apabila Liga Malaysia bersambung.

Malaysia bermula langkah kanan di Yangon.

Setakat ini, pasukan kita berada di landasan yang betul. Pada perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF menentang Myanmar di Yangon, Harimau Malaya sekadar menang tipis 1-0.

Malam ini, aksi kedua bertemu Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil dan sudah tentu tiga mata menjadi idaman para pemain dan penyokong tempatan dalam usaha merintis laluan mara ke separuh akhir.