PRESIDEN Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, mengucapkan tahniah kepada enam pasukan Asia yang berjaya menempah tiket ke Piala Dunia FIFA 2026 selepas tamat aksi terakhir pusingan kelayakan Zon Asia, pada Selasa.
Jordan dan Uzbekistan mencuri tumpuan apabila mencatat sejarah layak buat kali pertama ke pentas tertinggi dunia itu, manakala Korea Selatan mengekalkan rekod cemerlang dengan penampilan ke-11 berturut-turut. Jepun pula muncul negara bukan tuan rumah pertama di dunia yang layak seawal Mac lalu, diikuti Iran dan Australia yang mengesahkan tempat selepas menewaskan Arab Saudi 2-1 di Jeddah.
Shaikh Salman turut memuji semua pasukan Asia atas komitmen dan usaha meningkatkan tahap persaingan di benua ini, sekali gus menunjukkan jurang antara negara Asia kini semakin mengecil. Katanya, kejayaan tiga pasukan mara ke pusingan kalah mati di Qatar 2022 membuktikan potensi besar benua ini dan AFC komited untuk terus membantu dalam persiapan ke edisi 2026.
Sementara itu, enam pasukan lain, Indonesia, Iraq, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan meneruskan cabaran dalam saingan play-off untuk merebut dua slot automatik terakhir ke Piala Dunia, manakala dua naib juara kumpulan bakal bersaing bagi slot ke kejohanan play-off antara benua.