KUCHING City FCmemaklumkan bahawa perlawanan Liga Super Malaysia 2024/25 antara Kuching City FC dan Kedah Darul Aman FC, yang berlangsung pada semalam terpaksa diberhentikan selepas hanya 16 minit permainan akibat hujan lebat.

Keadaan padang yang licin dan menyukarkan pergerakan bola membuatkan perlawanan tidak dapat diteruskan.

Selepas penilaian dibuat, Malaysia Football League (MFL) telah membuat keputusan untuk menangguhkan perlawanan tersebut kerana keadaan padang yang tidak sesuai untuk meneruskan perlawanan.

“Bagi para penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut, Kuching City FC amat menghargai kehadiran dan sokongan anda.

“Namun, disebabkan kesukaran untuk mengenal pasti semula semua penonton yang hadir malam tadi bagi proses penggantian tiket, pihak kelab telah membuat keputusan untuk memberi kemasukan percuma kepada semua penyokong yang hadir pada perlawanan tersebut.

“Tawaran ini adalah untuk perlawanan Kuching City FC menentang Selangor FC yang akan berlangsung pada 16 Mac 2025 di Stadium Negeri, Kuching,” menurut kenyataan rasmi kelab pada Sabtu.

Jelas pihak Kuching City lagi, pihaknya memaklumkan bahawa tarikh baharu bagi perlawanan yang ditangguhkan menentang Kedah Darul Aman FC akan diumumkan oleh pihak MFL dalam masa terdekat.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh para penyokong dan berterima kasih atas kesabaran anda dalam situasi ini.

“Sokongan anda amat penting untuk pasukan Kuching City FC, dan kami berharap agar semua penyokong terus memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan kita,” ujar kenyataan itu lagi.

FOTO : TVS