MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kerajaan meluluskan kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan mengikut jalur naturalisasi yang sah.

Kelulusan itu dibuat selepas semua pemain berkenaan melalui proses yang ditetapkan oleh undang-undang negara dan tidak diberi sebarang keistimewaan luar biasa.

“Kita ikut jalur naturalisasi yang sah, tidak ada jalan pintas. Mereka ini melalui proses seperti pemohon lain, termasuk syarat bermastautin, berkelakuan baik dan memahami bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Saifuddin, pemberian taraf kewarganegaraan itu dilaksanakan berdasarkan peraturan Kaedah-Kaedah Warganegara 1964 dan selepas penilaian menyeluruh oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Proses pemberian warganegara telah dilakukan secara sah dan telus, mematuhi segala peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan peraturan berkaitan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa urusan kewarganegaraan dan kelayakan pemain untuk beraksi di peringkat antarabangsa adalah dua perkara berbeza.

“Itu soal pemain warisan dan kelayakan. FIFA kata maklumat itu palsu. FAM kata itu maklumat yang diberi oleh pemain sendiri.”

“Kita laksanakan tanggungjawab di bawah bidang kuasa kita. Soal kelayakan untuk mewakili negara di pentas antarabangsa pula adalah hal yang ditentukan oleh FIFA dan FAM,” katanya.

Beliau turut mengakui isu berkenaan timbul susulan tindakan badan bola sepak dunia terhadap beberapa pemain warisan yang statusnya dipersoalkan.

Saifuddin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam urusan pemberian kewarganegaraan dan memastikan setiap permohonan dibuat secara tertib dan mengikut lunas undang-undang.

“Dari sisi undang-undang kita, pemberian warganegara ini sah. Semua prosesnya mengikut lunas peraturan, bukan kerana desakan mana-mana pihak,” katanya lagi.

Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh pembangunan bola sepak negara melalui pelibatan pemain warisan yang layak, tanpa menjejaskan prinsip kedaulatan dan integriti sistem kewarganegaraan Malaysia.