BANGKOK United tampil garang di Stadium MBPJ apabila mengejutkan Selangor FC dengan jaringan awal sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-2, sekali gus menunjukkan kekuatan mereka dalam saingan AFC Champions League Two.
Mereka membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Illias Alhaft sebelum Muhsen Al-Ghassani menambah gol kedua pada minit ke-15, disusuli jaringan kedua Illias pada minit ke-24 untuk menjadikan kedudukan 3-0, sebelum Chrigor Moraes akhirnya merapatkan jurang buat Selangor FC.
Manakala Selangor FC bertambah tertekan apabila pemain pertahanan Harith Haikal dilayangkan kad merah sebelum tamat babak pertama, sekali gus meletakkan tuan rumah dalam situasi sukar.
Selangor FC kemudian berjaya menambah gol kedua menerusi Aliff Izwan pada minit ke-74 yang kembali membangkitkan semangat penyokong tuan rumah.
Namun, harapan untuk bangkit sepenuhnya tidak kesampaian apabila Phillipe Maia menjaringkan gol keempat buat Bangkok United pada minit ke-85 untuk memastikan kemenangan selesa milik pasukan pelawat.
Keputusan itu menyaksikan Selangor FC masih bergelut mencari kemenangan pertama dalam kempen AFC Champions League Two musim ini, menambah tekanan terhadap misi mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.