PENCABAR-pencabar kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC kini sudah pun berada di Johor Bahru dan sudah memulakan latihan untuk menyesuaikan diri.
Johor Bahru terpilih menjadi tuan rumah untuk perlawanan peringkat kumpulan secara berpusat dengan Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin bakal menyaksikan aksi hebat dari kelab-kelab terbaik Asia.
Wakil Jepun, Kawasaki Frontale tiba lebih awal di Johor untuk memastikan para pemain mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan mencuba sendiri padang di Stadium Larkin.
Begitu juga bagi wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai yang tiba menerusi Kuala Lumpur dilihat menerusi laman sosial rasmi mereka sudah mula menjalani latihan di Stadium Educity, Iskandar Puteri.
King about to conquer Asia pic.twitter.com/WDyfIp9XF3
— Kawasaki Frontale FR ⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️ (@FrontaleFR) April 10, 2022
Guangzhou FC yang terpaksa menurunkan barisan kedua ekoran perintah kuarantin di China yang akan menjejaskan persiapan mereka menjelang aksi pembukaan Liga Super China juga telah tiba dan bakal membuka saingan bertemu juara lapan kali Liga Super Malaysia.
Keadaan cuaca yang panas di Johor berbanding di tempat asal mereka pastinya akan menjadi faktor utama yang boleh menjejaskan persembahan ketiga-tiga pasukan dengan jadual yang cukup padat.
Selain faktor cuaca, waktu sepak mula yang lewat juga boleh menjejaskan aksi pasukan kerana ianya diluar kebiasaan ketiga-tiga kelab ini untuk bermain pada lewat malam. Perbezaan persembahan dan corak permainan mungkin dapat dilihat pada perlawanan yang bermula jam 5 petang berbanding jam 10 malam.
Namun begitu kesemua pasukan ini tidak perlu bimbang tentang keadaan padang kerana semua sudah sedia maklum akan kualiti padang yang dimiliki oleh JDT baik di kedua-dua stadium mahupun di padang latihan.
Aksi peringkat Kumpulan I akan bermula Jumaat ini dengan Kawasaki Frontale berdepan Ulsan Hyundai di Stadium Larkin pada sebelah petang manakala JDT berhadapan Guangzhou FC di Stadium Sultan Ibrahim pada jam 10 malam.
Selepas mengharungi enam perlawanan dalam masa dua minggu, juara setiap kumpulan dan tiga tempat kedua terbaik bakal layak ke peringkat 16 terbaik yang dijadualkan pada Ogos nanti.