KEHADIRAN bekas jagoan Denmark, Kenneth Jonassen dalam kem badminton negara, bukan untuk menaikkan sesetengah pemain sahaja, sebaliknya setiap pelatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berpeluang meningkatkan kemampuan diri, di bawah kelolaan ketua jurulatih perseorangan baharu itu.

Menurut beliau, sebagai jurulatih, dia akan mencari jalan memastikan setiap pemain boleh meningkatkan prestasi serta gaya permainan untuk tampil sebagai pencabar utama pada setiap kejohanan disertai.

“Tugas saya sebagai jurulatih adalah untuk membantu setiap pemain berkembang ke tahap tertinggi mereka. Kita tahu pemain akan bekerja keras untuk capai impian mereka dan bukannya jurulatih.

“Itulah yang saya mahu pastikan, bagaimana kita boleh memotivasikan mereka setiap hari. Kita mempunyai beberapa kaedah untuk menaikkan semangat pemain dan membantu mereka menjadi lebih kuat,” kata Jonassen.

Beliau merancang mencipta formula gabungan teknik dari Eropah dan Asia untuk diserapkan kepada pemain negara, sekali gus tampil dengan prestasi lebih cemerlang selepas ini.

“Saya percaya idea ini boleh menjadi sangat menarik. Beberapa idea ada dalam pemikiran saya, saya percaya perkara itu mampu memberi yang sangat bermanfaat kepada pemain.

“Saya pasti setiap pemain akan bekerja keras tetapi ia perlu dilihat secara terperinci dan motivasi di sebalik apa yang kami cuba capai dan itu adalah sesuatu yang akan disatukan untuk kita capai matlamat kita,” katanya.

Begitupun ketika diminta mengulas mengenai situasi perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, beliau enggan memberi sebarang komen kerana belum bertemu pemain di ranking ke-202 dunia itu.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan jurulatih berusia 51 tahun itu sebagai ketua jurulatih baharu perseorangan negara pada 23 November lalu.

Jonassen memiliki reputasi besar selaku jurulatih apabila menjadi watak penting terhadap kejayaan yang dilakar pemain nombor satu Denmark, Viktor Axelsen.

Di bawah bimbingannya, Axelsen berjaya memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo pertamanya selain turut membantu pemain itu memenangi gelaran dunia pada 2017 di Glasgow, Scotland.