PENGURUSAN Melaka FC (MFC) sudah mula menggerakkan langkah awal bagi mengisi kekosongan di kerusi ketua jurulatih susulan peletakan jawatan Datuk K Devan, ketika pasukan sedang berdepan fasa sukar dalam saingan Liga Super musim ini.
Pengurus MFC, Muhammad Najmi Mohd Nordin mengesahkan pihak pengurusan sedang meneliti beberapa calon berpotensi, namun menegaskan masih terlalu awal untuk mengumumkan siapa yang bakal mengambil alih peranan penting tersebut. Menurutnya, kelab mahu memastikan jurulatih yang dipilih benar-benar sesuai dengan hala tuju pasukan, terutama bagi memperkemaskan prestasi skuad selepas ini.
Dalam masa sama, Najmi merakamkan penghargaan terhadap sumbangan besar K Devan yang meletakkan jawatan sehari selepas aksi ke-11 menentang Imigresen FC. Beliau menyifatkan bekas pengendali itu sebagai individu penting yang banyak menyumbang kepada peningkatan prestasi pasukan sejak saingan Liga bermula.
“Jutaan terima kasih kepada Datuk K Devan atas segala jasa dan sumbangan beliau. MFC menghormati keputusan yang dibuat dan mengakui peranan besar beliau dalam membentuk pasukan ini,” katanya.
Selepas pemergian Devan, skuad MFC sempat dikendalikan penolong jurulatih, S Subramaniam ketika aksi menentang Selangor, namun Subramaniam turut melepaskan jawatan sejurus perlawanan tersebut berakhir. Situasi itu menyaksikan tanggungjawab sementara kini digalas Mohd Asri Ninggal, yang juga bekas jurulatih Negeri Sembilan FC dan Melaka United.
Antara pencapaian terbesar Devan bersama MFC adalah membantu pasukan muncul juara Liga A1 Semi-Pro musim 2024/2025, sekali gus melonjakkan harapan kelab untuk kembali bersaing di pentas lebih tinggi. Namun, musim semasa menyaksikan MFC bergelut apabila kini berada di tangga ke-12 liga selepas 12 perlawanan dengan hanya mengumpul enam mata hasil satu kemenangan, tiga keputusan seri dan lapan kekalahan.
Pengurusan MFC berharap pelantikan jurulatih baharu nanti mampu membawa nafas baharu kepada pasukan, selain mengembalikan keyakinan pemain dan penyokong untuk baki saingan musim ini.