REAL Madrid dilaporkan sedang merancang untuk menukar nama stadium ikonik mereka, Santiago Bernabeu, buat kali pertama dalam hampir 70 tahun.
Menurut laporan dari media antarangsa, kelab gergasi La Liga itu bercadang untuk menjenamakan semula stadium tersebut kepada ‘The Bernabeu’ atas faktor komersial dan pemasaran.
Nama Santiago Bernabeu telah digunakan sejak 1955 sebagai penghormatan kepada bekas pemain, pengurus, dan presiden kelab yang membawa nama yang sama.
Di bawah pentadbirannya selama hampir 35 tahun, Bernabeu telah mencatat sejarah gemilang dengan memimpin Real Madrid memenangi enam Piala Eropah, 16 gelaran liga, enam Piala Sepanyol, dan pelbagai trofi lain.
Langkah Real Madrid untuk menukar nama stadium ini, yang telah menjadi antara stadium paling terkenal di dunia sukan, pasti akan mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan peminat.
Jika keputusan dilaksanakan, ia akan mengakhiri era nama Santiago Bernabeu yang sinonim dengan sejarah dan kejayaan Los Blancos.
Dalam pada itu, pasukan bimbingan Carlo Ancelotti dijadualkan kembali beraksi dalam La Liga pada 4 Januari menentang Valencia di tempat lawan.
Adakah “The Bernabeu” bakal membawa era baharu kepada Real Madrid? Semua mata kini tertumpu kepada pengumuman rasmi kelab itu dalam masa terdekat.