MAJLIS  Paralimpik Malaysia (MPM) terus melangkah lebih besar apabila bakal melancarkan buku Braille International Paralympic Committee (IPC) Athlete Classification Code khas untuk atlet yang mempunyai masalah penglihatan.

Penerbitan buku ini akan diusahakan bersama dengan Kuala Lumpur Braille yang diasaskan oleh seorang peguam, juga mantan EXCO MPM, Datuk Mah Hassan Omar selain turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin menegaskan bahawa buku ini amat penting kepada semua komuniti atlet bermasalah penglihatan bagi memastikan mereka memahami sistem klasifikasi dengan tepat.

“Masalah penglihatan tertakhluk kepada banyak kategori atau klasifikasi yang berbeza untuk pelbagai Sukan Paralimpik. Buku Braille ini adalah langkah tepat untuk mereka lebih tahu dengan syarat-syarat proses klasifikasi dan kelayakan jenis acara yang mereka boleh bertanding.

“Sebelum ini mereka hanya mendengar taklimat klasifikasi, tetapi selepas ini semua atlet akan lebih memahami.” “Ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi, buku Braille Kod Klasifikasi ini bakal menjadi yang pertama diterbitkan di Malaysia dan dunia,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Buku ini juga akan diedarkan kepada International Paralympic Committee (IPC) dan National Paralympic Committee negara lain sebagai rujukan.