PENGENDALI baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui kegagalan pasukannya mendapatkan gol kedua menjadi penyebab mereka tewas 1-2 kepada Muangthong United sekaligus menunda kelayakan mereka ke Pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2)

Dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya itu, Selangor mendahului seawal minit kelima namun tidak berjaya mencari gol kedua hingga dihukum dua gol dari pihak lawan menerusi situasi bola mati.

Kinoshi yang ditemui ketika sesi sidang media selepas perlawanan turut meminta maaf kepada para penyokong Gergasi Merah namun berazam untuk bangkit pada perlawanan seterusnya dan layak ke peringkat kalah mati.

Kinoshi akui kegagalan dapatkan gol kedua jadi punca kekalahan Selangor

“Kami seharusnya dapatkan gol kedua namun tidak berjaya dan itu adalah faktor utama tetapi kami berjaya tunjukkan pada penyokong yang kami tidak menyerah kalah untuk mendapatkan gol sehingga tamat permainan dan saya mahu meminta maaf kepada penyokong kerana tidak berjaya memberikan kemenangan.

“Segalanya menjadi pada babak pertama dan kami berjaya menjaringkan gol tetapi kami dihukum menerusi dua ‘set play’ pada babak kedua dan kami perlu perbaiki masalah ini selain tiang gol menjadi penghalang malam ini.

“Kami masih mampu layak dan cipta kemenangan di Manila dengan aksi lebih agresif untuk mendapatkan gol dan ini adalah sasaran kami,” katanya.

Jaringan awal Quentin Cheng tidak mampu beri kemenangan buat Selangor

Meskipun tewas pengendali asal Jepun itu gembira dengan apa yang ditunjukkan oleh pemainnya namun dia masih memerlukan waktu terutama memastikan pemain sentiasa cergas dan mahu terus fokus pada perlawanan-perlawanan yang seterusnya selepas ini.

Gol seawal minit kelima menerusi Quentin Cheng gagal memberikan kemenangan debut buat Kinoshi namun dia sudah mengenalpasti beberapa kelemahan dan akan mengatasinya untuk memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.