KEMENANGAN Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada pusingan ketiga Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bagi kategori CP150 yang berlangsung di Litar Selatan Sepang mengukuhkan lagi kedudukannya di tangga kejuaraan.

Prestasi Nazirul tampak hebat di setiap pusingan pada musim ini. Dia menunjukkan kemahirannya bukan sahaja dalam pengendalian jentera pada kelajuan yang tinggi tetapi juga dari segi kemahiran teknikal.

“Untuk pusingan yang akan datang, saya akan pastikan stamina saya di tahap yang terbaik. Saya harus lebih fokus kerana litar Terengganu agak kecil dan memerlukan kemahiran teknikal.

“Saya akan bekerjasama dengan mekanik untuk mencari setup motosikal yang terbaik,” kata pelumba berusia 22 tahun.

Tahun lepas, Nazirul mendapat tempat keempat secara keseluruhan di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix dan telah menaiki podium di tempat pertama tiga kali bagi kategori CP150 sejak 2019.