
Nik Akif harap lebih minit permainan bersama Penang FC

PEMAIN tengah skuad B-23 tahun kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat mahu kembali dipanggil menyertai skuad senior kebangsaan dengan mengimipikan lebih minit permainan apabila membuat keputusan untuk menyertai Penang FC untuk musim 2023.
Pemain kelahiran Kelantan itu melalui musim 2022 yang suram apabila tidak dapat menembusi kesebelasan utama Terengganu FC dan dipinjamkan ke Kelantan United FC namun tetap tidak dapat mengembalikan rentak cemerlang yang diharapkan.
Kini dia mendapat nyawa kedua apabila ditawarkan kontrak untuk beraksi di bawah kendalian pengendali Manzoor Azwira Abdul Wahid dan dia bertekad mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama meskipun terpaksa bersaing dengan dua pemain import.
Ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan persahabatan pra musim baru-baru ini, Nik Akif mengakui bukan mudah untuk mengembalikan keyakinan dirinya selepas kurang beraksi musim lalu tetapi dia mahu jadikan Penang FC sebagai tempat untuk dia kembali bangkit sekaligus membanggakan keluarganya.
“Saya harap dengan Penang FC saya dapat minit permainan untuk dapatkan semula corak permainan saya dan akan lakukan yang terbaik untuk merebut kesebelasan utama walaupun terpaksa bersaing dengan dua pemain import di posisi saya.
“Sukar untuk kembali semula kerana bukan mudah untuk mencari keyakinan diri tetapi saya yakin dengan bantuan rakan sepasukan saya akan dapat mengembalikan keyakinan saya dan membantu pasukan untuk bersaing musim ini.
“Saya akan gunakan peluang di Penang FC ini untuk mencari minit permainan dan bagi memastikan saya mendapat panggilan untuk skuad kebangsaan dan harap tahun 2023 ini adalah tahun yang terbaik buat saya untuk saya banggakan keluarga,” katanya.
Nik Akif diturunkan dalam keempat-empat aksi pra musim Penang FC bertemu Manjung City FC, Negeri Sembilan FC, UiTM FC dan Perak FC dengan skuad Harimau Kumbang berjaya mencatat kemenangan dalam kesemua perlawanan setakat ini.
Penang FC kini yang dalam fasa mempersiapkan pasukan akan berentap dalam kejohanan empat penjuru Piala Harapan yang turut menampilkan Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan wakil Singapura, Geylang International FC.