
Piala Harapan: TCH ingin lihat kombinasi tempatan dan import baharu

KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe ingin melihat kombinasi Ayron del Valle yang baharu sahaja menggantikan posisi yang ditinggalkan Herlison Caion yang berhijrah ke Kuala Lumpur City FC dalam kancah Liga Super musim ini.
Jelasnya, medan Piala Harapan merupakan antara platform terbaik bagi melihat keserasian antara beberapa pemain import dan tempatan yang baharu dimasukkan seperti Faisal Halim, Ahmad Khuzaimi Piee serta V. Ruventhiran.
“Saya ingin lihat keserasian pemain import baharu, pemain import lama serta pemain tempatan yang ada dalam pasukan. Kita ingin cari satu ramuan yang sesuai menjelang aksi Liga Super nanti.
“Kita akan uji Mickey, Khuzaimi, Ruventhiran. Memang perlu sedikit masa untuk dapat keserasian bersama kombinasi pemain import,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Secara keseluruhan, jurulatih kelahiran Kedah itu menganggap penganjuran Piala Harapan itu bakal menjadi medan persiapan terbaik sebelum Gergasi Merah turun dengan misi sebenar dalam kancag Liga Super.
“Pertandingan kali ini kompetitif dengan Geylang juga ada dengan beberapa pemain terbaik bersama Penang FC dan KDA FC juga ada. Sudah tentu agak kompetitif.
Sebagai rekod, Selangor FC berjaya menamatkan saingan liga dalam kelompok lima terbaik saingan Liga Super musim lalu serta menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 sejak dia mengambil alih portfolio jurulatih dari Michael Feichtenbeiner.