DUA pasukan pilihan Netball Super League (NSL) 2022, Kuala Lumpur (KL) Wildcats dan Johor Jewels melaungkan amaran awal apabila menang mudah ke atas lawan masing-masing dalam aksi pembukaan di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Jumaat.

KL Wildcats menang selesa 81-20 ke atas Melaka Mystic yang menyaksikan penguasaan penuh juara bertahan itu dengan GS mereka, Puteri Intan Balqis berjaya menjaringkan 29 mata dari 37 percubaan.

Melaka Mystic cuba memberikan cabaran tetapi terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan itu yang menyajikan aksi pantas dengan 27 pintasan yang berjaya mematikan serangan Wildcats.

Sementara itu pencabar utama yang juga naib juara musim 2021, Johor Jewels pula tiada masalah membenam cabaran Kedah Sunshine 63-24 dengan An Najwa berjaya menjaringkan 43 mata dengan hampir 90 peratus ketepatan balingan.

Johor Jewels yang dibarisi pemain lama dan baharu yang berpengalaman nyata terlalu bagus untuk Kedah Sunshine yang perlu memperbaiki ketepatan balingan mereka apabila hanya mencatatkan 40 peratus ketepatan.

Dalam aksi pada sebelah petang pula, Perak Phoenix berjaya mengekang asakan Negeri Sembilan Venom sebelum menang 42-32 dalam aksi yang cukup mendebarkan.

Kedua-dua pasukan berbalas serangan dan jaringan dengan GS Perak Phoenix, Khairunnisa Nazri cemerlang dengan 91 peratus ketepatan balingan manakala Negeri Sembilan Venom dihampakan peratusan jaringan yang rendah.

Kemenangan ini meletakkan KL Wildcats di tangga teratas liga untuk hari pertama menerusi perbezaan jaringan dengan empat lagi aksi bakal berlangsung pada Sabtu.

Selangor Angels membuka akaun musim ini menentang Kedah Sunshine, Perak Phoenix akan bertemu Melaka Mystic manakala KL Wildcats akan menghadapi cabaran Negeri Sembilan Venom sebelum Pahang Tulips membuka gelanggang bertemu Johor Jewels.

NSL 2022 menyaksikan lapan pasukan mengambil bahagian dalam liga kompetitif selama tiga minggu dengan dua pasukan terbawah akan tersingkir terus dari saingan NSL 2023.

Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara.