JUARA MPL Malaysia Musim ke-12, Homebois, serta wakil negara ke kejohanan dunia M7, CG Esports, disahkan tidak akan beraksi dalam MPL Malaysia Musim 17 selepas senarai lapan pasukan baharu diumumkan hari ini.

Lapan pasukan yang terpilih untuk menyertai musim baharu itu ialah Selangor Red Giants, Team Vamos, Team Rey, Team Flash, Bigetron MY by VIT, RRQ Malaysia, All Combo dan Invictus Gaming menandakan barisan rasmi pasukan yang akan bersaing di bawah format baharu liga berkenaan.

Ketiadaan Homebois dan CG Esports nyata mengundang persoalan dalam kalangan peminat, lebih-lebih lagi kedua pasukan itu pernah mencipta impak besar di pentas tempatan dan antarabangsa.

Ramai melihat keputusan ini sebagai satu perubahan besar dalam landskap kompetitif MPL Malaysia.

Situasi ini berlaku susulan peralihan MPL Malaysia kepada sistem francais bermula tahun 2026 (Musim 17), format baharu ini diperkenalkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh struktur liga dan memastikan kestabilan jangka panjang.

Peralihan ke sistem francais juga mengambil contoh kejayaan model yang telah dilaksanakan di Indonesia dan Filipina yang terbukti mampu membina ekosistem esukan yang lebih stabil dan berdaya saing.

Melalui perubahan ini, MPL Malaysia dijangka menawarkan kestabilan kewangan yang lebih kukuh kepada pasukan, meningkatkan kebajikan pemain, memperluas penglibatan peminat serta merancakkan pertumbuhan komersial industri esukan tanah air.