RANKING beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melonjak tiga anak tangga dalam senarai terkini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikemaskini 3 Januari, sekali gus menjadi tonik berharga buat mereka menjelang saingan Petronas Terbuka Malaysia, yang bermula Selasa depan.

Berada di ranking keenam dunia, menjadi pencapaian terbaik gandingan utama wanita negara itu setakat ini.

Pearly, 22, tidak menafikan kedudukan ranking terbaharu itu meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka untuk mempamerkan aksi terbaik dan menghasilkan keputusan positif di Terbuka Malaysia yang menjadi kejohanan pertama bagi musim 2023.

Pearly Tan-M Thinaah mahu fokus satu persatu perlawanan.

“Tapi kami perlu berpijak di bumi yang nyata. Kami hanya mahu fokus kepada diri sendiri dan cuba menampilkan persembahan terbaik,” katanya.

Sementara itu, Thinaah berkata, mereka tidak mahu terbawa-bawa dengan kedudukan ranking terbaharu kerana apa lebih penting adalah persiapan mereka bagi menghasilkan keputusan positif di Terbuka Malaysia kali ini.

“Sudah tentu menjadi motivasi kepada kami tetapi ranking adalah sekadar nombor. Apa yang kami harapkan adalah memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Memang kami ada sasaran tersendiri di Terbuka Malaysia tetapi fokus kami adalah satu demi satu perlawanan terlebih dahulu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada Pearly Tan-M.Thinaah

Pearly dan Thinaah mencipta sensasi tahun lalu apabila muncul beregu wanita pertama negara menjuarai Terbuka Perancis.

Petronas Terbuka Malaysia bermula Selasa depan.

Mereka akan memulakan saingan Terbuka Malaysia di Arena Axiata menentang pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di pusingan pertama.

Pada edisi tahun lalu, Pearly-Thinaah terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan beregu China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 19-21, 14-21.

Keputusan yang baik di Terbuka Malaysia amat penting buat gandingan ini, sebagai persiapan menghadapi kejohanan yang mula menawarkan mata kelayakan ke Olimpik, Mei depan.

ARTIKEL BERKAITAN : Pearly-Thinaah naik ke ranking No.8 dunia, “Motivasi untuk lebih baik”