SKUAD badminton negara menutup tirai Sukan SEA di Bangkok, Thailand dengan hanya satu emas selepas beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya mampu menyumbang perak di Gimnasium Thamasat Rangsit.
Berdepan Sabar Karyaman-Moh Reza Pahlevi dari Indonesia yang memimpin rekod pertemuan 3-1, sememangnya tidak mudah buat gandingan negara yang kini menghuni ranking kedua dunia.
Aaron-Wooi Yik tunduk 14-21 di set pertama, cukup menceritakan betapa mereka tercari-cari kunci kelemahan lawan yang berada di ranking kelapan dunia itu.
Prestasi tidak banyak berbeza di set kedua, apabila Aaron-Wooi Yik yang meraih emas pada 2019, akur tewas 17-21 dalam aksi selama 45 minit, sekali gus berpuas hati dengan pingat perak.
Justeru, skuad badminton menutup tirai Sukan SEA 2025 dengan 1 emas, 2 perak dan 6 gangsa.
Malaysia menamatkan acara badminton di kedudukan ketiga di belakang Indonesia (3 emas, 3 perak, 4 gangsa) dan Thailand (3 emas, 2 perak, 1 gangsa).