PENANG FC terus bertahan dalam saingan Liga Super dengan bajet terkawal antara RM8 juta hingga RM12 juta setahun sejak penswastaan liga pada 2021.

Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew berkata, pasukan mengekalkan disiplin ketat dalam pengurusan kewangan tanpa berbelanja lebih daripada kemampuan.

“Kami semak semua perbelanjaan secara bulanan, akaun mesti seimbang. Kalau melebihi bajet, perlu rujuk lembaga,” kata Jeffrey kepada Flash Sukan.

Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew

Katanya, gaji pemain dan jurulatih ditentukan berdasarkan kemampuan kelab dan bukan populariti.

“Kalau pemain atau jurulatih minta lebih dari bajet, walaupun bagus, kami takkan ambil. Itu polisi kami.

“Penang FC bukan kedekut, tapi realistik. Kalau belanja lebih, hujung musim kita sendiri yang susah. Kami yakin model ini walaupun sukar, tetap berkesan untuk jangka panjang,” katanya.

Jeffrey turut menjelaskan, pemilihan pemain sepenuhnya di tangan jurulatih dan bukannya pihak pengurusan atau lembaga.

Musim ini, Penang FC akan dikendalikan jurulatih baharu, Wan Rohaimi Wan Ismail yang dibawa masuk selepas prestasi hambar di penghujung musim lalu.

FOTO:Penang FC

“Kami percaya kepada pengalaman dan pandangan jurulatih. Dengan bajet yang ada, tugas jurulatih penting untuk kenal pasti pemain berkualiti, bukan popular semata-mata,” ujar Jeffrey.

Tambahnya, cabaran utama Penang FC termasuk kos tinggi untuk aksi di Sabah dan Sarawak, membebankan jika jadual berubah saat akhir.

Katanya lagi, Penang FC juga berjaya menampilkan kemajuan dari segi kehadiran peminat di Stadium Bandaraya, namun venue yang mampu memuatkan 10,000 penonton itu tidak dijadikan sumber pendapatan utama kerana peminat hanya memenuhi stadium pada perlawanan besar seperti menentang JDT dan Selangor.