PEMENANG pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dan juara dunia dan Asia enam, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah tersenarai antara lima calon akhir Olahragawan Kebangsaan 2023 di Anugerah Sukan Negara (ASN) pada 13 Jun ini.

Bagaimanaun, bekas ekuestrian dan jaguh bina badan negara itu turut menerima saingan sengit dari atlet skuasy Ng Eain Yow, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).

Sementara itu, perebutan gelaran Olahragawati Kebangsaan, menyaksikan lima atlet iaitu Natasha Mohamed Roslan dari sukan boling, Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang) disenarai pendek.

Qabil Ambak bersama pingat emas dimenanginya dalam acara dressage individu di Sukan Asia ke-19, Hangzhou, China.

Jawatankuasa Pemilihan ASN yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ts Dr K Nagulendran turut menyenarai pendek calon Olahragawan Paralimpik Kebangsaan iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romli (para olahraga), Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (para olahraga), Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (para renang).

Untuk Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, lima calon berkenaan adalah Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Angeline Melissa Lawas (boccia) dan Jariah Zakaria (para boling padang).

Abdul Latif Romly msih memegang rekod dunia acara lompat kijang para.

“Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000,” kata Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan pada Rabu.

Anugerah lain yang turut dipertandingkan ialah Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966 adalah pengiktirafan tertinggi Kerajaan bagi menghargai kecemerlangan dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan untuk setiap tahun pertandingan.