KETUA jurulatih  Sepak Takraw negara, Ahmad Jais Baharun tampil mengakui bahawa anak buahnya belum cukup ampuh untuk menyamai keampuhan regu lawan yang tampil lebih kemas dari semua aspek permainan.

Menurut Ahmad Jais, kekalahan ini harus diterima dengan hati terbuka memandangkan pasukan Thailand jelas mendominasi dari segi serangan, pertahanan, dan ketenangan di gelanggang. Malah, beliau menganggap ketidakmampuan pemain Malaysia mengekalkan konsistensi dalam permainan menjadi titik tolak perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan.

“Pasukan kita belum cukup stabil dalam perlawanan akhir. Thailand bermain lebih konsisten dan kukuh dari sudut pertahanan dan serangan. Itu yang menjadi jurang besar antara kita dan mereka,” jelasnya.

Skuad takraw negara akur tewas di pentas akhir regu berpasukan Piala Asia, Pada Ahad.

Ahmad Jais turut menegaskan bahawa skuad negara masih memerlukan penambahbaikan menyeluruh dalam aspek taktikal dan mental, terutamanya apabila berdepan pasukan elit seperti Thailand.

Beliau berpandangan bahawa untuk mengurangkan jurang prestasi, barisan pemain perlu lebih konsisten bukan sahaja ketika menyerang, tetapi juga dalam menahan asakan dan mengawal tempo perlawanan.

“Saya tidak menafikan pemain kita sudah berikan yang terbaik. Namun realitinya, kita masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki. Kita kena kerja lebih keras untuk bangkit menjelang kejohanan besar akan datang seperti Sukan SEA hujung tahun ini,” ujarnya dengan nada realistik.

Walaupun kecewa, Ahmad Jais tetap memuji semangat juang anak-anak buahnya yang tidak mudah menyerah kalah, namun beliau percaya hanya latihan yang lebih tersusun dan intensif mampu melonjak prestasi skuad negara agar mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa besar sepak takraw dunia itu.