SKUAD Harimau Malaya dalam keadaan siap siaga dan terbaik menjelang aksi separuh akhir kedua Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Thammasat,  Bangkok pada Selasa malam.

Jelas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon mereka ada kelebihan dari segi jaringan walaupun tahu lawan akan hadir dengan misi memburu kemenangan dalam meniti ke final.

“Percayalah perlawanan menentang Thailand di tempat sendiri bukanlah sesuatu yang mudah.

“Tetapi pasukan Malaysia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental. Saya percaya ia pasti satu lagi perlawanan yang menyeronokkan.

“Secara peribadi, Piala AFF sangat terkenal. Ketika saya di Hong Kong dan Korea Selatan, saya berminat untuk menonton perlawanan ini. Selepas dilantik sebagai ketua jurulatih Malaysia, saya perlu menjadi juara kejohanan ini sekali dan kali ini saya mempunyai peluang itu,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Bangkok pada Isnin.

Berita baik buat kem negara apabila Azam Azmi Murad dan Khuzaimi Piee yang berdepan hukuman penggantungan dan kecederaan bakal kembali memperkuatkan pasukan.

“Mengenai siapa akan diturunkan, esok saya akan putuskan,” ujarnya mahu buatkan penyokong Malaysia bergembira selepas tamat perlawanan.

Sementara itu,  tonggak tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkins akui bermain di laman Thailand tidak semudah difikirkan.

“Kami akan buru gol dan tekan Thailand. Saya akan bantu catat clean sheet untuk pasukan.. dan sudah tentu ia satu cabaran dan kami akan melakukannya,” kata pemain Sabah FC itu.

Sebagai rekod, Malaysia mencatat tiga kemenangan dengan 1-0 ke atas Myanmar dan 5-0 dengan Kemboja serta mengalahkan Singapura 4-1 dalam saingan peringkat Kumpulan B sebelum bertemu Thailand dalam saingan separuh akhir ini.

Kali terakhir Malaysia mara ke final pada tahun 2018, namun tewas di tangan Vietnam.