WALAUPUN sudah melepasi sasaran awal menjuarai peringkat Kumpulan A, Thailand masih belum berpuas hati memandangkan perjalanan masih jauh.
Memegang status selaku juara bertahan Piala AFF Mitsubishi, Thailand kini menanti naib juara dari Kumpulan B sama ada Vietnam, Malaysia mahupun Indonesia yang akan turun beraksi malam ini.
Bagi Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking dia enggan mendabik dada selepas menyaksikan pasukan berjaya menjuarai Kumpulan A sebaliknya mahu barisan pemain fokus dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2022 kali ini.
“Tiada apa yang boleh dibanggakan setakat ini meskipun sasaran awal untuk menjuarai peringkat kumpulan telah pemain lakukan dengan cemerlang.

Polking enggan pemainnya mudah selesa dan mahu tumpuan penuh pada aksi separuh akhir nanti.
“Sebelum ini saya dah katakan bahawa kami mahu menang peringkat kumpulan kerana cukup penting apabila aksi separuh akhir kita akan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri pada pusingan kedua nanti.
“Saya lebih berminat untuk memberi tumpuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan kalau boleh sudah pasti kita mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lepas,” katanya selepas tamat perlawanan.
Skuad Gajah Perang tidak mempunyai masalah untuk menang pada aksi terakhir peringkat kumpulan dengan menewaskan Kemboja 3-1 di Stadium Thammaasat, Bangkok, Isnin.
Kemenangan mengatasi Kemboja menyaksikan Thailand mengatasi Indonesia dengan perbezaan jaringan gol meskipun berkongsi 10 mata.
Pengendali Indonesia, Shin Tae-yong mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sekiranya mahu melangkah jauh pada kejohanan bola sepak paling berprestij itu nanti.
“Kami masih ada masalah daripada segi penyudah dan itulah kelemahan yang perlu pasukan perbaiki menjelang aksi separuh akhir nanti,” tegasnya.