SINGAPURA dijadualkan bertemu Thailand dalam saingan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 pada Selasa. Perlawanan ini membawa implikasi besar kepada peluang Malaysia, yang kini berada dalam kedudukan yang kritikal.

Harimau Malaya tidak akan beraksi pada hari ini, dengan dua perlawanan yang dijadualkan adalah Kemboja menentang Timor Leste dan Singapura melawan Thailand. Anak buah Pau Marti Vicente hanya berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan, iaitu menentang Singapura pada Jumaat di halaman sendiri.

Namun begitu, nasib pasukan negara boleh dikatakan banyak bergantung kepada keputusan perlawanan antara Singapura dan Thailand. Kedua-dua pasukan kini berkongsi enam mata, dan keputusan perlawanan mereka akan memberi kesan langsung kepada kedudukan Malaysia dalam kumpulan.

Malaysia kehilangan tiga mata selepas kalah tipis kepada Thailand dalam aksi kedua di Stadium Rajamangala.

Berdasarkan peraturan kiraan kedudukan kumpulan, penentuan bermula dengan jumlah mata, diikuti oleh perbezaan jaringan, dan seterusnya jumlah gol yang dijaringkan. Pada masa ini, Malaysia mempunyai empat mata dan perbezaan jaringan 0, manakala Singapura memiliki perbezaan jaringan +4.

Jika perlawanan antara Singapura dan Thailand berakhir seri, kedua-dua pasukan akan mengumpul tujuh mata. Ini bermakna, walaupun Malaysia berjaya menewaskan Singapura dalam perlawanan terakhir, mata maksimum tujuh mungkin tidak mencukupi jika perbezaan jaringan Malaysia masih ketinggalan.

Dalam situasi ini, Malaysia perlu menang dengan sekurang-kurangnya dua gol untuk mara ke separuh akhir.

Carta Kedudukan Kumpulan A, Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024

Keadaan menjadi lebih mencabar jika Singapura berjaya menewaskan Thailand. Kemenangan tersebut akan memastikan tempat Singapura di separuh akhir, sementara Malaysia perlu bersaing dengan Thailand untuk slot terakhir.

Skuad Gajah Perang, yang dijadualkan menentang Kemboja dalam perlawanan terakhir mereka, dijangka tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan. Jika ini berlaku, peluang Malaysia ke separuh akhir akan tertutup.

Senario terbaik bagi Malaysia ialah mengharapkan Thailand menewaskan Singapura. Dalam situasi ini, Malaysia hanya perlu menang tipis ke atas Singapura, walaupun dengan kelebihan satu gol, untuk mara ke separuh akhir.

Skuad Harimau Malaya perlu memberikan segalanya dalam perlawanan terakhir mereka, tetapi keputusan pertemuan antara Singapura dan Thailand akan menjadi penentu utama kepada nasib kita dalam Piala AMEC 2024.