JUALAN tiket bagi perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ASEAN antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok malam mendapat sambutan menggalakkan dengan 10,210 tiket telah terjual setakat ini.

Maklumat terkini itu dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi media sosial rasmi mereka pada jam 11 pagi tadi.

Jumlah tersebut dijangka terus meningkat menjelang petang ini dan esok, memandangkan stadium mampu menampung sehingga 80,000 penonton.

Perlawanan ini sangat penting buat skuad kendalian Pau Marti Vicente kerana ia bakal menentukan peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir kejohanan.

Harga tiket yang ditawarkan adalah berpatutan, bermula dari RM30 untuk Tempat Duduk Terbuka, RM50 untuk Grandstand, RM60 untuk Premium, dan hanya RM5 untuk tiket kanak-kanak.

Orang ramai boleh membeli tiket secara dalam talian melalui pautan bit.ly/TiketAMEC24.

Ketika ini, pasukan negara berada di tangga keempat Kumpulan A dengan empat mata, berkongsi kedudukan bersama Kemboja di tempat ketiga. Singapura di tangga kedua dengan enam mata, manakala Thailand kekal di puncak kumpulan dengan sembilan mata.

Malaysia wajib menewaskan Singapura untuk mengumpul tujuh mata dan merebut slot ke separuh akhir.

Dalam masa yang sama, Kemboja dijadualkan bertemu Thailand dalam satu lagi perlawanan penting di Bangkok.

Malaysia ketika ini menghuni dua tangga terakhir Kumpulan A.

FOTO : FAM