MALAYSIAN Football League (MFL) menerusi Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan status penangguhan pembayaran wang kemenangan pada musim 2020 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ab Ghani juga menjelaskan bahawa perkara ini telah dipersetujui oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di mana dia memahami kekangan kewangan MFL yang kehilangan wang tajaan kira-kira RM30 juta akibat pandemik Covid-19.

Ini selepas Tunku Ismail menerusi satu temubual memberitahu bahawa pihak FAM boleh menolak hutang yang ada sekiranya pasukan JDT dikenakan hukuman denda berikutan insiden membakar suar dalam stadium baru-baru ini.

Datuk Ab Ghani dan Datuk Hamidin

Malah Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengeluarkan kenyataan mengatakan FAM tidak mempunyai sebarang hutang dengan JDT dan berkemungkinan hutang itu adalah daripada pihak MFL.

“MFL telah melakukan pembayaran secara berperingkat dan kini dalam proses akhir menyelesaikan baki pembayaran wang kemenangan itu tahun ini. Bagaimanapun penangguhan pembayaran bagi musim itu hanya melibatkan JDT sahaja di mana MFL tidak ada sebarang tunggakan dengan pasukan lain,” jelas Ab Ghani.

Penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 menyaksikan aksi Liga Super hanya berlangsung selama separuh musim dan pertandingan Piala Malaysia dan Piala FA dibatalkan menyebabkan perolehan pendapatan MFL dan seluruh pasukan terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: “FAM tiada hutang dengan JDT” – Hamidin

Untuk musim 2020, JDT muncul juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas memungut 29 mata hasil sembilan kemenangan dan dua seri dari 11 perlawanan yang dilangsungkan.