SKUAD Bola Sepak Wanita Kebangsaan mahu menggunakan peluang beraksi bertemu dua pasukan Piala Dunia, Vietnam dan Filipina sebagai medan untuk menimba pengalaman dalam permulaan baharu bola sepak wanita negara.

Ketua Jurulatih, Soleen Al Zoubi juga tidak mahu pasukannya dibandingkan dengan dua wakil Asia Tenggara ke Piala Dunia FIFA Wanita 2023 itu kerana menganggap perbezaannya sangat ketara.

Selain itu Soleen juga mahu anak-anak buahnya memberikan aksi terbaik dan berjuang tanpa takut kerana mereka akan mendapat banyak pengalaman dari penyertaan di temasya ini.

Soleen Al Zoubi

“Persiapan sangat baik dan kami melakukan banyak perkara di dalam dan luar padang. Program mental buat pemain juga dilakukan kerana ianya bukan kejohanan yang mudah. Walaupun kami mempunyai sesi latihan yang panjang tetapi sebenarnya ianya pendek jika dibandingkan dengan pengalaman yang ada pada mereka.

Kebanyakan persiapan berjalan lancar dan kami masih ada ruang untuk penambahbaikan. Untuk permulaan inilah yang kami boleh berikan termasuk taktikal baharu. Pemain respons kepada arahan taktikal dengan baik. Majoriti adalah pemain muda dan mereka mudah menerima arahan dan menunjukkan semangat melawan yang baik. Ini adalah petunjuk pasukan ini skuad untuk masa depan.

“Ini adalah permulaan buat kami. Pasukan Wanita Filipina dan Vietnam bukan seperti pasukan lelaki. Tidak adil untuk dibandingkan kerana mereka umpama Jepun dan Australia untuk pasukan lelaki dan mereka akan beraksi di Piala Dunia 2023 di Australia dan New Zealand.

“Pemain agak gementar tetapi saya pesan pada mereka untuk terus lakukan yang terbaik dan kurangkan kesilapan kerana ini adalah perkara yang paling penting dan pemain perlu percaya dengan diri mereka sendiri,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Soleen juga meletakkan sasaran yang realistik buat skuadnya dan dia mahu melihat persembahan yang baik selain mahu pemainnya menimba pengalaman dan berjuang hingga ke akhir.

Malayan Tigress akan memulakan saingan bertemu Vietnam pada 3 Mei sebelum bertemu Filipina pada 6 Mei dan melengkapkan aksi kumpulan menentang Myanmar pada 9 Mei di Stadium Army, Phnom Penh dan jika berjaya layak ke separuh akhir, Malaysia akan beraksi pada 12 Mel sebelum perlawanan akhir pada 15 Mei.