PASUKAN bola sepak India kini berdepan detik paling getir dalam hampir sedekad apabila skuad Blue Tigers merosot ke tangga 142 dunia dalam ranking FIFA terkini dan kejatuhan yang bukan sekadar berpunca daripada kekalahan, tetapi kehilangan arah dan identiti bola sepak mereka.

Kemerosotan ini hadir selepas kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang amat mengecewakan, di mana India gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan. Paling memalukan, kekalahan 0-1 kepada Bangladesh di Dhaka menjadi detik paling perit, kerana ia merupakan kali pertama dalam lebih 20 tahun India tewas kepada seteru serantau itu. Kekalahan itu bukan sahaja mengejutkan penyokong, tetapi mengesahkan bahawa pasukan mereka berada dalam fasa kejatuhan yang serius.

Detik hitam di Dhaka itu disusuli kelukaan lain di Goa apabila India tumbang 1-2 kepada Singapura, yang sekali gus memadam terus harapan mereka untuk ke Piala Asia. Rentetan keputusan buruk itu membuatkan India jatuh 40 anak tangga sejak Disember 2023, ia merupakan satu kejatuhan drastik yang mencerminkan masalah dalaman lebih besar.

India kini berada di kedudukan terendah sejak Oktober 2016, jauh di belakang gergasi Asia seperti Jepun, Iran, Korea Selatan dan Australia. Jika dahulu mereka pernah mencatat ranking terbaik iaitu tangga ke-94 dunia pada 1996, kini kejayaan itu terasa sangat jauh ditinggalkan.

Keseluruhannya, India sedang melalui fasa paling sukar dalam era moden bola sepak mereka dan satu zaman gelap yang berlaku kerana prestasi merudum, arah tuju kabur dan struktur domestik yang rapuh.

Jika melihat keadaan India sekarang, satu persoalan wajar ditanya, bolehkah perkara sebegini berlaku kepada Malaysia? Diharapkan Harimau Malaya dan pentadbiran bola sepak negara tidak melalui nasib sama seperti India, kerana jalan keluar dari zaman kegelapan bukanlah sesuatu yang mudah.