KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend bersemangat tinggi dalam memperkasa Harimau Malaya bagi mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.
Selaku watak utama dalam projek revolusi Harimau Malaya, beliau yang lebih dikenali sebagai Rob Friend enggan menoleh ke belakang lagi, sebaliknya mahu memastikan proses membentuk pasukan kebangsaan diperkemas dari segenap aspek.
Malah, beliau mahu melakukan analisis prestasi setiap lapisan pasukan kebangsaan secara menyeluruh sebelum merangka pelan terbaik bagi tempoh jangka panjang.
“Kita ada pelan jangka pendek, pertengahan dan panjang. Tugasan pertama kita adalah kempen Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan menentang Nepal dan ia amat penting buat pasukan kebangsaan.
“Jadi, sebagai langkah awal, kita mengumpulkan barisan kejurulatihan terbaik dunia seperti Dr. Craig Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
“Kita juga ada (Ketua Jurulatih) Peter Cklamovski yang pada saya merupakan salah seorang jurulatih terbaik di dunia,” ujarnya.
Beliau turut melihat saingan pembukaan Kelayakan Piala Asia 2027 amat penting sebagai permulaan bagi merangka model terbaik sekali gus membantu Harimau Malaya membina momentum menjelang aksi berikutnya.
“Kita perlu merangka strategi untuk membina kejayaan jangka panjang. Saya tidak berada di sini untuk kejayaan jangka pendek. Saya di sini adalah untuk membina model jangka panjang buat pasukan kebangsaan dan itu mengambil masa.
“Ia ibarat kita membina rumah, kita perlu mengukuhkan tapaknya terlebih dahulu agar ia bertahan lama.
“Kita perlu mengenal pasti beberapa permasalahan dan dengan visi Tunku Mahkota Ismail (Pemangku Sultan Johor) untuk menjadi lebih baik, harapnya Malaysia dapat melangkah ke Piala Dunia kerana itu cita-cita saya,” ujarnya.