MARCUS Rashford dilaporkan telah menolak tawaran lumayan dari tiga kelab kaya dari Arab Saudi, walaupun masa depannya di Manchester United (MU) kini tidak menentu.
Menurut laporan Daily Mail, MU bersedia melepaskan Rashford dalam jendela perpindahan Januari akan datang selepas dikatakan tidak termasuk dalam rancangan pengurus baharu, Ruben Amorim.
Namun begitu, Rashford dikhabarkan hanya bersedia menyertai kelab yang bermain di liga kompetitif untuk memastikan kedudukannya dalam skuad kebangsaan England kekal terjamin.
🚨 Rúben Amorim: “I've already spoken a lot about Rashford… but it depends more from him than from me”.
“Marcus has to want it really BAD. He's here, he's our player and he's ready to play if I decide”, told Sky Sports. pic.twitter.com/QuZeg3vqSg
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) January 3, 2025
Penyerang berusia 27 tahun itu dengan tegas menolak tiga tawaran besar dari kelab Saudi Pro League yang bernilai RM6 juta seminggu. Jumlah itu jauh lebih besar berbanding gaji yang diterimanya di MU.
Rashford yang kini telah mengumpulkan 60 penampilan bersama skuad kebangsaan England kali terakhir bermain untuk The Three Lions dalam perlawanan persahabatan menentang Brazil pada Mac lalu.
Walau bagaimanapun, Rashford tidak tersenarai dalam skuad England untuk Euro 2024 dan kini berusaha keras untuk merebut semula tempatnya di bawah kendalian jurulatih Thomas Tuchel.
Pada bulan lalu, Rashford menyatakan kesediaannya untuk menghadapi cabaran baharu dalam kerjayanya, namun dia tetap terbuka untuk terus kekal bersama MU kerana kontraknya hanya akan tamat pada Jun 2028.